TALIAN KHIDMAT
WHATSAPP

KALKULATOR
PINJAMAN

TALIAN KHIDMAT WHATSAPP

KALKULATOR PINJAMAN

Back to NEWSROOM

SAIC MOTOR MALAYSIA MEMPERKENALKAN SPESIFIKASI MG ZS PERTAMA YANG DIPASANG SECARA TEMPATAN DI KLIMS 2026

11 Jun 2026

KUALA LUMPUR, 11 Jun 2026 – SAIC Motor Malaysia hari ini mendedahkan spesifikasi tempatan bagi MG ZS, SUV kompak terbaharu jenama MG, sempena KL International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) yang berlangsung dari 12 hingga 21 Jun 2026. Barisan model ini merangkumi dua varian, iaitu LUX Turbo dan LUX Hybrid+, dengan varian Turbo dijadualkan untuk diperkenalkan pada satu tarikh kemudian.

Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi, yang hadir pada majlis pelancaran itu berkata, pengenalan MG ZS Hybrid+ dan varian Turbo mencerminkan komitmen MG dalam menawarkan pilihan yang memenuhi pelbagai keperluan serta gaya hidup pengguna Malaysia, di samping terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran automotif yang semakin dinamik dan kompetitif.

“Setiap model MG yang diperkenalkan di Malaysia dipilih dengan teliti berdasarkan keperluan dan jangkaan pengguna tempatan dalam landskap automotif yang sentiasa berkembang. MGS5 dan MG ZS menawarkan pilihan rangkaian kuasa yang memenuhi pelbagai segmen pasaran, sambil mengekalkan ciri-ciri pintar dan inovatif yang menjadi identiti jenama MG,” kata Qi.

Turut hadir di KLIMS 2026 ialah Naib Presiden Reka Bentuk Global SAIC Motor, Jozef Kabaň, yang berkongsi pandangan mengenai evolusi bahasa reka bentuk MG serta hala tuju reka bentuk masa depan jenama itu, sekaligus menegaskan komitmen MG terhadap inovasi dan mobiliti masa hadapan.

MG ZS menggabungkan gaya reka bentuk moden dan sporty dengan kepraktisan untuk kegunaan harian. Bahagian luarannya menampilkan reka bentuk hadapan yang tampil lebih berani dengan lampu hadapan Connected Hunter Eyes, kemasan gril hitam, bentuk badan aerodinamik, lampu belakang LED, Smooth Spoiler serta rim aloi 18 inci bereka bentuk moden.

MG ZS, SUV segmen B terbesar dalam kelasnya dengan ukuran 4,430mm panjang dan 1,818mm lebar, menawarkan ruang kabin yang luas dan ergonomik, penggunaan material premium, ruang kepala dan kaki yang lebih selesa serta penyelesaian storan yang praktikal. Model ini turut menyediakan ruang but berkapasiti 443 liter yang boleh diperluaskan sehingga 1,457 liter apabila tempat duduk belakang dilipat, menjadikannya antara model dengan ruang kabin paling luas dalam segmennya. Di bahagian kokpit, MG ZS dilengkapi skrin infotainmen terapung bersaiz 12.3 inci serta kluster instrumen digital yang memaparkan maklumat pemanduan secara jelas dan mudah diakses.

Dari segi prestasi, MG ZS Hybrid+ baharu dilengkapi bateri NCM berkapasiti 1.83kWh, motor elektrik 100kW serta enjin aspirasi semula jadi 1.5L berkecekapan tinggi yang menghasilkan kuasa gabungan maksimum sebanyak 158kW dan tork 465Nm. Digandingkan dengan transmisi hibrid tiga kelajuan yang canggih, MG ZS Hybrid+ menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar dan responsif, menggabungkan karakteristik pemanduan kenderaan elektrik dengan kemudahan sistem hibrid tanpa memerlukan pengecasan luaran. Dengan prestasi yang mengagumkan, MG ZS Hybrid+ memecut dari 0–100km/j dalam 8.7 saat, sekali gus menjadikannya SUV hibrid segmen B terpantas, serta menawarkan jarak pemanduan sehingga 870km dengan tangki penuh 41 liter.

Semua model MG dilengkapi teknologi keselamatan pemanduan MG PILOT yang direka untuk meningkatkan keyakinan, keselesaan dan keselamatan melalui rangkaian ciri bantuan pemandu termaju (ADAS) 2.5. Dipadankan dengan MG iSMART, pemilik MG ZS juga boleh mengakses dan mengawal fungsi utama kenderaan secara jauh melalui telefon pintar, termasuk fungsi kemasukan tanpa kunci.

Ditawarkan dalam empat pilihan warna luaran iaitu merah, perak, hitam dan putih, serta dipadankan dengan kemasan dalaman serba hitam, spesifikasi akhir MG ZS akan didedahkan semasa pelancaran rasminya.

Sebagai tawaran instimewa, pelanggan yang membuat tempahan awal MG ZS sepanjang tempoh promosi dengan yuran tempahan RM99 layak menerima rebat RM3,000 serta penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.

Kemunculan Sulung IM dan IM6 di Malaysia

KLIMS 2026 turut menyaksikan kemunculan sulung IM (Intelligence in Motion) di Malaysia, subjenama premium SAIC Motor yang member tumpuan kepada kemewahan dan teknologi mobiliti pintar, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri visi jenama tersebut terhadap mobiliti premium masa hadapan.

Tumpuan utama diberikan kepada IM6, SUV pintar elektrik sepenuhnya dalam segmen D yang mencerminkan visi SAIC terhadap inovasi premium, reka bentuk moden dan mobiliti pintar. Pengenalannya di Malaysia mencerminkan hala tuju strategik SAIC Motor Malaysia yang kini melangkaui penawaran enjin konvensional dan teknologi elektrifikasi ke arah pembangunan kenderaan elektrik premium generasi baharu. Dengan ukuran 4,904mm panjang dan 1,988mm lebar, IM6 menawarkan ruang kabin yang luas dan mewah, dilengkapi bumbung kaca panoramik, tempat duduk berinspirasikan kulit yang lembut serta pelbagai ciri pintar yang direka untuk meningkatkan keselesaan dan kemudahan pengguna. IM6 menawarkan jarak pemanduan sehingga 600km mengikut penarafan WLTP, dengan kuasa maksimum 572kW dan tork 802Nm.

Di samping MG ZS dan IM6 yang menjadi antara tarikan utama pameran, SAIC Motor Malaysia turut mempamerkan MG HS Hybrid+, MG QS, MGS5 EV dan Cyberster di KLIMS 2026.

Bagi tempoh terhad sepanjang KLIMS 2026, pelanggan yang membuat tempahan MGS5 EV layak menerima rebat segera RM7,000, pengecas Wall Box 7kW percuma bernilai RM2,000 serta kredit pengecasan tambahan RM1,000. Harga MGS5 EV bermula daripada RM116,900.

Daripada enjin petrol dan mobiliti bandar berteknologi elektrifikasi sehinggalah inovasi kenderaan elektrik premium, penyertaan SAIC Motor Malaysia di KLIMS 2026 memberi peluang kepada pengguna, media dan pemain industri untuk meneroka sendiri portfolio produk jenama yang semakin berkembang serta hala tuju masa depannya. Untuk maklumat lanjut mengenai MG dan perkembangan terkini jenama tersebut, sila layari laman web rasmi MG Malaysia di www.mgmalaysia.com.

Aktiviti Interaktif untuk Pengunjung

Selain pameran kenderaan yang menarik, pengunjung di reruai MG berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif serta peraduan media sosial untuk memenangi hadiah-hadiah menarik. Bagi memperkayakan pengalaman pengunjung, persembahan catwalk yang berlangsung setiap dua jam akan menampilkan model memperagakan kebaya sebagai simbol penghargaan terhadap warisan budaya Malaysia dan mencerminkan elemen budaya tempatan yang disepadukan dalam pengalaman jenama MG.

Pengunjung juga berpeluang memandu uji MG ZS Hybrid+ dan MGS5 EV. Sebagai penghargaan, setiap individu yang mengambil bahagian dalam sesi pandu uji mana-mana model MG akan menerima secawan kopi secara percuma.