KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – Menyusuli tayangan awal di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (KLIMS 2026), SAIC Motor Malaysia kini sedia melancarkan model pemasangan tempatan (CKD) MG ZS untuk pasaran Malaysia menjelang akhir Oktober ini.
MG ZS serba baharu ini hadir menerusi dua pilihan varian iaitu MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hybrid+. Anggaran harga jualan adalah RM105,000 bagi varian Turbo dan RM115,000 bagi varian Hybrid+ (harga Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans). Sempena pelancarannya, 1,000 pelanggan terawal yang membuat tempahan bakal menikmati ganjaran eksklusif bernilai RM3,000 serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
“Melihat sambutan hangat ketika pertunjukan di KLIMS 2026, kami amat teruja untuk melancarkan MG ZS serba baharu ini secara rasmi di Malaysia. Dibangunkan mengikut selera dan keperluan pengguna tempatan, MG ZS Hybrid+ menampilkan rangkaian kuasa hibrid khusus serta Transmisi Hibrid 3-Kelajuan yang bergandingan untuk mengekalkan prestasi pada tahap optimum, mengurangkan pembaziran tenaga, di samping menyampaikan pemanduan yang amat mulus dan responsif. Gabungan teknologi ini menawarkan pakej menarik yang menyatukan prestasi, kecekapan serta nilai keseluruhan yang luar biasa,“ kata Emory Qi, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia.
MG ZS menggabungkan reka bentuk anggun dan sporty dengan kepraktisan harian, sekali gus menjadikannya sebuah SUV bandar yang direka khusus untuk gaya hidup moden. Penampilan luaran dipadankan dengan rekaan hadapan yang berani menerusi lampu utama Connected Hunter Eyes, kemasan gril hitam, garis badan aerodinamik, lampu LED belakang, serta rim aloi bergaya moden.
Sebagai SUV segmen-B terbesar dalam kelasnya dengan ukuran panjang 4,430 mm dan lebar 1,818 mm, MG ZS menawarkan susun atur kabin yang luas serta ergonomik dengan kemasan bahan premium, ruang dalaman yang diperluas bagi ruang kepala dan kaki yang lebih selesa, serta penyelesaian storan pintar. MG ZS ini turut menyediakan ruang but berkapasiti 443 liter yang boleh diperluas sehingga 1,457 liter apabila tempat duduk belakang dilipat, di samping menawarkan antara ruang kabin paling luas dalam segmennya. Di bahagian dalam, ruang kabin dilengkapi bumbung suria panoramik, skrin paparan infotainment terapung 12.3 inci serta kluster instrumen digital sepenuhnya 12.3 inci yang memaparkan maklumat pemanduan penting secara sepintas lalu.
Bagi aspek prestasi enjin dan trenkuasa, MG ZS 1.5 Turbo dikuasakan oleh enjin petrol 1.5L pengecas turbo yang menjana kuasa maksimum 170 PS (125 kW) dan tork 275 Nm. Dipadankan dengan transmisi pembolehubah berterusan (CVT) pacuan roda hadapan, ia menawarkan prestasi yang responsif untuk pemanduan harian. Varian ini mencatatkan kadar penggunaan bahan api purata 6.9L/100km bersama tangki bahan api berkapasiti 55 liter.
Sementara itu, MG ZS Hybrid+ dikuasakan oleh bateri NCM berkapasiti tinggi 1.83 kWh yang dipadankan bersama motor elektrik 100 kW dan enjin 1.5L sedutan semula jadi (NA) berkecekapan tinggi untuk menghasilkan kuasa maksimum keseluruhan 215 PS (158 kW) dan tork 465 Nm. Menerusi Transmisi Hibrid 3-Kelajuan termaju, ia menyampaikan pengalaman pemanduan yang mulus dan dinamik, menggabungkan ketersediaan kuasa seakan model EV dengan kemudahan trenkuasa hibrid tanpa perlu pengecasan semula (plug-in). Sistem hibrid pintar ini turut membolehkan pemanduan mod elektrik (EV mode) diaktifkan sehingga kelajuan 80 km/j dalam keadaan pemanduan yang sesuai bagi hasil pemanduan yang lebih senyap dan lancar. Mampu memecut dari 0–100 km/j dalam masa 8.7 saat, varian ini menawarkan kecekapan bahan api seawal 4.7L/100km serta jarak perjalanan sehingga 870 km bagi satu tangki penuh (41 liter).
Bagi memastikan keselamatan di tahap tertinggi, kesemua varian MG ZS kini dilengkapi dengan MG PILOT (ADAS Level 2.5). Sistem ini merangkumi pelbagai ciri bantuan pemanduan pintar seperti Intelligent Cruise Assist (ICA) dan Driver Fatigue Monitoring System (DFMS). Bagi menambah kemudahan pemilik, fungsi kenderaan juga boleh diakses dan dikawal secara jauh menerusi aplikasi telefon pintar MG iSMART, termasuk ketersediaan fungsi kunci digital (keyless entry).
MG ZS ditawarkan dalam empat pilihan warna luaran yang menawan – Flare Red, Silver, Andes Grey, dan York White – yang dipadankan dengan kemasan dalaman premium serba hitam serta tempat duduk kulit tiruan berliang (perforated leatherette), bagi memberikan keselesaan dan sokongan pemanduan yang lebih baik bagi setiap perjalanan.
Tempahan awal bagi MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hybrid+ kini boleh dibuat menerusi laman web rasmi MG Malaysia di www.mgmalaysia.com. Untuk melihat MG ZS Hybrid+ secara dekat, anda dijemput hadir ke Nexus Bangsar South dari 19 hingga 23 Oktober 2026 (10 pagi hingga 10 malam).

MG5
MG HS
MGZS HYBRID+
MG CYBERSTER
MGS5 EV
MG5
