Kuala Lumpur, 24 April 2026 – MG Motor Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan MGS5 EV yang dipasang secara tempatan di Malaysia. Pelancaran ini menandakan fasa baharu usaha lokalisasi jenama tersebut, susulan pengeluaran pertama model CKD di Melaka pada awal Mac lalu.
Pelancaran ini turut menjadi pencapaian penting bagi MG Motor Malaysia dalam memperluas rangkaian kenderaan elektriknya, sambil mengukuhkan komitmen jangka panjang terhadap pasaran Malaysia melalui usaha pemasangan tempatan.
Dibina berasaskan platform elektrik pacuan roda belakang khusus MG, MGS5 EV baharu ini menyatukan kegunaan harian dengan prestasi pemanduan yang dinamik. Berbanding versi import (CBU) sebelum ini, model CKD yang dipasang tempatan menawarkan peningkatan kuasa kepada 151kW serta 350Nm tork, memberikan pecutan yang lebih mantap dan respons yang lebih baik.
MGS5 EV menyokong pengecasan DC ultra pantas sehingga 150kW, membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam kira-kira 26 minit dalam keadaan optimum. Format bateri ultra‑nipis mendatar pula menyumbang kepada ruang kabin lebih luas, pusat graviti lebih rendah, serta kestabilan pemanduan yang lebih baik. Dengan jarak pemanduan sehingga 446km (WLTP), ia menawarkan fleksibiliti untuk kegunaan harian atau perjalanan jarak jauh.
Varian MGS5 EV LUX Long Range pula meningkatkan lagi tahap keselesaan dan kemudahan dengan ciri-ciri premium seperti tempat duduk kulit tiruan penuh, tempat duduk hadapan berpengudaraan, tempat duduk penumpang hadapan boleh laras kuasa, serta pintu but belakang kuasa tanpa sentuhan.
Aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan utama MG. S5 EV dilengkapi 7 beg udara serta sistem bantuan pemandu canggih ADAS 2.5, termasuk ciri seperti Traffic Jam Assist dan Intelligent Cruise Control. Model ini juga telah meraih penarafan keselamatan 5 bintang daripada Euro NCAP dan ASEAN NCAP, sekali gus menyerlahkan komitmen MG terhadap piawaian keselamatan global.
Bagi memberikan ketenangan kepada pemilik EV, MGS5 EV didatangkan dengan jaminan pek bateri selama 8 tahun atau 180,000km, bersama jaminan 8 tahun atau 160,000km untuk unit kawalan motor.
“Pelancaran rasmi MGS5 EV yang dipasang tempatan ini adalah satu pencapaian penting bagi MG di Malaysia,” kata Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi. “Ia mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap lokalisasi, inovasi serta penawaran kenderaan elektrik yang menyatukan prestasi, teknologi dan kepraktisan buat pelanggan di Malaysia.”
Tambah beliau lagi, “Melalui MGS5 EV, kami berbangga memperkenalkan sebuah model yang bukan sahaja mengukuhkan portfolio EV kami, malah menonjolkan keyakinan kami terhadap Malaysia sebagai pasaran strategik dan hab pembuatan bagi MG di rantau ini.”
Pemasangan tempatan MGS5 EV dijalankan di fasiliti PEPS-JV (Melaka) dengan kerjasama EP Manufacturing Berhad, sekali gus menyokong ekosistem automotif Malaysia melalui pembangunan rantaian bekalan, pemindahan teknologi serta penglibatan industri tempatan.
Fasiliti Pegoh ini mampu memasang kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik hibrid (HEV) serta model enjin pembakaran dalaman (ICE), sejajar dengan aspirasi pertumbuhan serantau MG. Kapasiti pengeluaran MGS5 EV dianggarkan antara 120 hingga 180 unit sebulan, dengan jumlah pengeluaran tahunan sekitar 1,500 hingga 2,000 kenderaan pada 2026. Tempahan untuk MGS5 EV kini dibuka secara rasmi, dengan harga akhir varian MGS5 EV LUX Long Range bermula daripada RM116,900.
Sempena pelancaran model pemasangan tempatan ini, MG Motor Malaysia turut menawarkan pakej promosi pelancaran bernilai sehingga RM9,000, tertakluk kepada terma dan syarat.

Susulan pelancaran rasmi ini, MG Motor Malaysia akan menganjurkan acara Uji Pandu Bilik Pameran Seluruh Negara pada hujung minggu ini di semua bilik pameran MG. Semua pelanggan dijemput mengunjungi bilik pameran MG terdekat untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan MGS5 EV baharu.

MG5
MG HS
MG CYBERSTER
MG4 Ultimate
MGS5 EV
MG5